Saturday, December 06, 2008

Antara Nabil Dan Apek.. Siapa Yang Anda Suka?

Photobucket
APEK tidak mahu mengehadkan kebolehannya kepada dunia lawak sahaja manakala populariti Nabil dikatakan memberi saingan kepada Saiful Apek.
LEBIH sedekad menjadi tunjang pelakon komedi tempatan, Saiful Apek dilihat di dalam hampir kesemua program TV terutamanya sitkom dan filem yang berkaitan dengan elemen komedi. Ada sahaja karya berunsur humor, Apek pastinya menjadi salah seorang pelakonnya.

Bukannya penonton sudah naik mual tetapi dirasakan industri memerlukan lebih ramai pelakon komedi bagi menceriakan dan mempelbagaikan dunia perfileman tempatan. Dan baru-baru ini dengan penerbitan program realiti seperti Raja Lawak, pelapis pelakon genre ini mula mewarnai industri.

Paling ketara adalah populariti juara Raja Lawak 2, Nabil. Dia yang dilihat mempunyai persamaan dengan Apek meraih perhatian ramai walaupun sebelum dinamakan sebagai juara program itu. Maka ada yang tertanya-tanya sama ada kemunculan Nabil ini sedikit sebanyak menjejaskan populariti Apek?

"Dulu Sabri Yunos adalah pelakon komedi terbaik dan kemudian ada yang menyatakan saya mengatasinya. Tetapi saya tidak menganggapnya sebegitu. Ini semua adalah rezeki. Nabil juga menganggap saya sebagai idolanya. Bagi saya tiada istilah mencantas sesiapa.

"Dan pelakon baru bukannya mengganti tetapi menyambung tugas sebagai pelawak. Mereka adalah pelapis yang sama-sama membangunkan industri. Malah saya mempunyai tanggungjawab berat untuk menjadi 'satu-satunya' pelakon komedi sekarang. Apa yang Nabil lalui sekarang adalah apa yang saya tempuhi 15 tahun lalu," kata Apek pada majlis pelancaran sitkom Hua...Hua...Hua, baru-baru ini.

Sebagai pelakon yang sering dikaitkan dengan komedi, Apek yang mahir berlawak bagaimanapun tidak mahu mengehadkan dirinya dalam dunia itu sahaja. Malah dia sudah mengambil cabaran untuk menguji dirinya dengan watak berbeza seperti dalam filem Cinta Luar Biasa dan Cicakman 2.

Namun, dalam kedua-dua watak itu masih terselit unsur humor. Mungkin kerana penonton lebih senang melihat dia melawak, maka ramai penerbit suka menawarkan dia watak komedi. Ini yang membuatkan Apek masih melihat dirinya dalam karya komedi.

"Ramai yang melihat saya sebagai pelawak. Jadi apabila menerima tawaran lakonan, semuanya amat terhad. Namun, saya tidak akan membiarkan tanggapan ini mengembangkan karier lakonan saya.

"Dalam masa terdekat, saya akan terlibat dalam drama adiwira seperti Gerak Khas. Serius tetapi dicampur sedikit elemen kelakar," jelas Apek.

Sitkom arahan dan lakonan Apek

Gitu Gitu Apek musim kedua sudah selesai ditayangkan di Astro dan Apek meneruskan tugasnya untuk menghiburkan penonton dengan sitkom baru, Hua...Hua...Hua. Ditayangkan setiap Isnin, pukul 10.30 malam di saluran Astro Ria (Astro 104), sitkom ini diarahkan dan dibintangi oleh Apek.
Photobucket
NABIL (kiri) dan Apek bergandingan dengan primadona jelita, Erra Fazira dalam satu persembahan pentas.
Turut membintangi adalah barisan pelakon seperti Angah, Along, Nabil, Zizan, Sharifah Shahirah, Raja Azura, Ijoy, Bob Kuman dan Taugeh. Namun, apakah perbezaan sitkom ini dengan Gitu Gitu Apek?

"Gitu Gitu Apek adalah kerjasama dengan Astro. Maka banyak kandungannya telah ditapis dan dikawal oleh Astro. Sitkom ini dibikin dengan sketsa pendek. Manakala Hua...Hua...Hua pula merupakan pula merupakan sitkom saya.

"Ia ditulis dan diarahkan oleh saya. Selain daripada itu, program ini adalah drama komedi dan bukannya sketsa pendek. Setiap episod mewakili cerita berlainan seperti Senario.

"Dan menariknya Hua...Hua..Hua mempunyai mesej dan pengajaran. Watak juga berubah tetapi yang utama adalah tiga pelakon iaitu saya, Along dan Angah," kata Apek mengenai sitkom sebanyak 13 episod ini.

Jika dikatakan mempunyai persamaan dengan Senario, bukankah ini bermaksud Hua...Hua...Hua 'menyalin' idea program komedi yang sudah lama kukuh dalam industri?

"Soal tiru atau tidak bukan fokus penting. Apa yang diutamakan adalah kualiti. Dan genre program kami adalah komedi dan kebetulan sama dengan Senario.

"Lagipun bukannya ada peraturan yang menyatakan orang lain tidak boleh membuat program berbentuk komedi. Kita juga mahu mewarnai industri kita," tambah Apek yang akan berlakon dalam tele-filem Gila Politik.

Sebaik sahaja diberi tawaran oleh Noradz Production Sdn. Bhd., Apek terus menulis skrip dengan bantuan penulis lain dan memulakan penggambaran bulan lalu selama 21 hari. Dan Apek juga memegang kuasa dalam pemilihan aktor dalam menjayakan produksinya ini.

"Memang ada sebabnya mengapa saya memilih semua pelawak dalam Hua...Hua...Hua. Dan Along serta Angah dipilih sebagai tunjang utama kerana mereka terlibat dalam Gitu Gitu Apek dan Raja Lawak. Mereka sudah membina nama dengan usaha sendiri dan terbukti mereka mempunyai bakat. Jadi penglibatan sedikit sebanyak juga membantu saya.

"Saya memberikan ruang kepada mereka untuk mengembangkan kreativiti masing-masing. Saya memberikan mereka kelonggaran dan kepercayaan untuk menyumbang kreativiti asalkan tidak melanggar jalan cerita. Tetapi sebelum penggambaran, saya ada berbincang dengan mereka mengenai ceritanya."

Bakal terlibat dengan produksi filem dengan pihak Bollywood dalam filem Kecoh Betul, Apek memberitahu adalah penting untuk memberi peluang kepada orang baru terutamanya pelawak. Dia mahu membantu mereka kerana mengetahui kesukaran dirinya untuk bertapak sebagai pelakon komedi.

"Peluang itu penting kerana saya juga naik dalam industri dengan peluang yang ada. Semasa terlibat dalam Senario selama tujuh tahun, saya 'terperangkap' di sana. Kemudian apabila saya mula mendapat peluang untuk berlakon dan karier saya mula berkembang.

"Macam program realiti, mereka hanya fokus kepada juaranya sahaja. Apa yang berlaku kepada yang lain? Jadi saya mahu memberikan mereka peluang terutamanya pelawak," tambah Apek yang sebelum ini pernah mengarahkan filem Shhh... Dia Datang.

0 comments:

Post a Comment

Komen lah sebelum anda di komen kan hehehe...

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger template dari 'Ultimatum' Di Ubahsuai 80% Oleh Jimmy 2008-2010

BALIK KE ATAS